Para peserta kursus, Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya dan Jurulatih merakam gambar kenangan bersama Dr. Awang.

DIANGGARKAN lebih 80,000 ahli pengakap pelbagai peringkat, tauliah dan pangkat mengambil peluang bersama ribuan pengakap yang lain seluruh negara akan berkampung pada majlis Sambutan Hari Pengakap Sedunia di Sabah selaku tuan rumah pada tahun depan (2018).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara yang juga Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah Datuk Dr. Awang Zaini Suntim berkata, cadangan Sabah sebagai tuan rumah pengelola sambutan Hari Pengakap Sedunia telah dipersetujui dalam satu mesyuarat peringkat kebangsaan baru baru ini.

Sehubungan itu, penghormatan itu harus dimanfaatkan oleh ahli pengakap di Sabah, terutama para pemimpin, penolong pemimpin dan para ahli pengakap seluruh negeri ini.

Menurutnya, negeri Sabah juga diberi penghormatan sebagai tuan rumah pengelola Jembori Pengakap Peringkat Negara Malaysia pada tahun 2021 sebelum menjadi tuan rumah pengelola Jembori Pengakap peringkat Borneo melibatkan peserta dari Sarawak, Negara Brunei Darussalam, Indonesia dan Sabah pada tahun 2020.

“Inilah antara jadual yang telah dipersetujui bersama dalam satu mesyuarat peringkat Borneo baru baru ini di mana, para pemimpin serta ahli pengakap peringkat dari akar digalakkan menyertai program program yang telah dirancang,” jelas Dr. Awang ketika berucap menangguhkan Kursus Manik Kayu 3A & 3B peringkat Pantai Barat Utara (PBU) di SMK Kundasang, Ranau baru baru ini.

Menurut beliau, jumlah ahli pengakap di Sabah kini mencecah 89,000 orang dan dijangka jumlah itu bertambah dari masa ke semasa atas kesedaran orang ramai terutama para pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan guru guru betapa pentingnya menyertai serta bergerak aktif dalam persatuan pengakap antara persatuan yang diiktiraf kerajaan dan termaktub dalam bilangan 784 Akta Parlimen yang menyedari Persatuan Pengakap sebagai gedung mengeluarkan produk yang berkualiti tinggi.

Pengakap katanya, bukanlah satu pertubuhan atau persatuan NGO, sebaliknya ia satu persatuan di bawah pentadbiran dan diseliaaan kerajaan bagi menyatukan masyarakat antarabangsa.

“Saya mengharapkan kepada mana mana pemimpin atau ahli pengakap agar tidak mengaitkan dan menerapkan unsur atau pengaruh politik dalam pentadbiran serta kepimpinan pengakap, kerana itu bukan bidang kegiatan berpengakap,” tegas Dr. Awang yang berpengalaman berpengakap peringkat antarabangsa, sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Pengakap Negeri Sabah.

Katanya, pengakap Sabah adalah antara yang terbaik di negara ini, manakala persatuan pengakap seluruh dunia kini mencecah 189 buah negara.

Beliau menyeru kepada semua Pesuruhjaya, Penolong Pesuruhjaya Pengakap, pemimpin pengakap daerah di Sabah, supaya mempertingkatkan kerjasama dan mengelakkan banyak bercakap, tetapi bekerja kurang, kerana budaya sedemikian amat merugikan ahli dan tidak menarik perhatian kepada mereka bakal untuk menganggotai persatuan.

“Kita juga amat mengharapakan gerakan berpersatuan pengakap ini dipertingkatan lagi keahlian di semua peringkat sama ada di peringkat sekolah menengah atau sekolah rendah dan desa,” jelasnya.

Katanya, mulai tahun depan (2018) semua urusan pendaftaran akan menggunakan sistem ‘E.Pendaftaran’ (Online) dari semua daerah dan sekolah.

Dalam pada itu katanya, satu Kursus Protokol dan Erika Pengakap peringkat negeri Sabah akan diadakan di Rumah Persekutuan Pengakap Negeri Sabah pada 27-30 September depan melibatkan peserta dari Sarawak, Brunei Darussalam dan Sabah selaku ruan rumah.

Katanya, kursus melibatkan 22 orang peserta dari beberapa daerah di Sabah yang dijadikan landasan kepada peserta menjadi seorang pemimpin pengakap berkualiti serta berketrampilan diri yang tinggi.

Beliau memuji keprihatinan serta kerjasama padu di kalangan jawatankuasa pelaksana kerana berjaya mengelola kursus dengan lancar serta teratur.

“Harapan kita bersama kepada semua peserta agar mengaplikasikan segala ilmu pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang kursus itu untuk mencapai kecemerlangan bidang peranan dalam berpengakap sepanjang hayat,” tambahnya.

Inilah antara jadual yang telah dipersetujui bersama dalam satu mesyuarat peringkat Borneo baru baru ini di mana, para pemimpin serta ahli pengakap peringkat dari akar digalakkan menyertai program program yang telah dirancang. DATUK DR. AWANG ZAINI SUNTIM Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara

Sumber