Samsudin ditemani isterinya melihat gambar kenangan pada 31 Ogos 1957.

NOR AZURA MD AMIN
26 OGOS 2017
DETIK bersejarah menjadi individu pertama menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu menggantikan bendera Union Jack pada 31 Ogos di Padang Besar Bandar Pontian, masih segar dalam ingatan Samsudin Samad, 79.

Biarpun sudah 60 tahun berlalu, namun pesara guru ini masih mengenang detik yang cukup penting buat negara itu, meskipun hanya diraikan di peringkat daerah.

Menurut Samsudin, perasaan gembira dan teruja setiap penduduk ketika itu untuk melihat bendera Persekutuan Tanah Melayu dapat dirasakan apabila Padang Besar Bandar Pontian dipenuhi dengan ratusan orang.

“Bila sebut negara dah merdeka, sudah pasti gembira dan teruja. Masing-masing tak sabar hendak lihat bendera baru negara menggantikan bendera penjajah,” katanya.

Samsudin memberitahu, pembabitannya dalam pengakap sejak sekolah sehingga menjadi guru di Sekolah Melayu Kayu Ara Pasong membuatkannya dipilih menggalas tanggungjawab menaikkan bendera.

“Ketika tu, saya berusia 20 tahun. Ramai orang yang datang ke Padang Besar Bandar Pontian yang kini dikenali sebagai Stadium Mini Pontian untuk menyambut kemerdekaan negara.

Upacara menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957 di Padang Besar Bandar Pontian.

“Setiap ruang di padang penuh dengan orang yang sanggup datang dengan berjalan kaki dan menaiki bas. Seawal jam 8 pagi lagi orang ramai dah datang dan sambut kemerdekaan sehingga malam dengan pelbagai acara diadakan,” katanya.Beliau yang juga penterjemah Jawi Kuno di Arkib Negara cawangan selatan berkata, wakil pegawai Inggeris dan pegawai daerah turut hadir menyertai acara menaikkan bendera ketika itu.

“Ketika bendera Persekutuan Tanah Melayu dinaikkan, semua orang bangun dengan begitu bersemangat melaungkan laungan keramat, merdeka.

“Perasaan ketika tu sukar untuk digambarkan. Ada yang menangis sebab negara dah merdeka selepas dijajah,” katanya.

Terima pendidikan Jepun, Inggeris

Samsudin berkata, kehidupan yang dilalui sebelum negara mencapai kemerdekaan begitu sukar.

Jelasnya, pendidikan yang sepatutnya diterima setiap penduduk turut menjadi mangsa penjajah dalam menyebarkan ideologi mereka.

“Orang Jepun mahu kita dapat kuasai bahasa dan budaya mereka. Manakala orang Inggeris pula dilihat mengamalkan sistem pendidikan mengikut kelas-kelas ekonomi penduduk. Jika kaya dapatlah ke sekolah Inggeris ketika tu,” katanya.

Beliau ketika itu diberi kesempatan mengikuti dua jenis aliran pendidikan di bawah penjajah Jepun dan Inggeris.

“Pada 1944, ketika tu berusia 5 tahun, saya dah ke sekolah Jepun. Saya masih ingat, waktu di sekolah asyik terdengar bunyi kapal terbang saja. Takut sangat masa tu.

“Budaya serta bahasa Jepun diajar kepada anak Melayu ketika tu. Lagu kebangsaan Jepun pun diajar, ada beberapa rangkap lagu Jepun yang masih saya ingat dan boleh dinyanyikan sehingga kini,” katanya.

Menurut Samsudin, dia kemudiannya memasuki Sekolah Melayu Lelaki Bandar Pontian selepas penjajah Jepun tewas.

“Selepas Jepun tewas, penjajah Inggeris kembali. Ketika tu aliran pendidikan ikut acuan mereka,banyak sekolah Inggeris dibuka.

“Tapi bukan orang sembarangan boleh masuk ke sekolah mereka. Bagi penduduk biasa, sekolah Melayu jadi pilihan ketika tu,” katanya.

Selepas menamatkan pengajian sehingga tahun enam di Sekolah Melayu Lelaki Bandar Pontian yang kini dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Pontian, Samsudian mengikuti latihan perguruan dan bergelar guru pelatih selepas itu.

“Saya mengajar di Sekolah Melayu Kayu Ara Pasong ketika itu. Untuk ke sekolah saya kayuh basikal melalui jalan tanah merah.

“Alhamdulillah saya diberikan peluang berkhidmat di sekolah yang sama iaitu SK Kayu Ara Pasong hingga bersara pada 1992,” katanya.

Sambut Hari Kemerdekaan dengan keluarga

Mengakhiri perbualan, Samsudin memberitahu, setiap kali menghampiri tarikh 31 Ogos, beliau mesti terbayang detik bersejarah sambutan kemerdekaan yang dilalui pada 1957.

Samsudin menaikkan bendera pada sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Daerah Pontian di Stadium Mini Pontian, tahun lalu.

“Banyak perubahan yang dilalui negara dalam tempoh 60 tahun ni. Jika dulu, penjajah tak benarkan rakyat biasa belajar Bahasa Inggeris, sekarang anak Melayu begitu maju dan menjawat jawatan tinggi dengan ilmu yang mereka ada.

“Pencapaian ini sangat membanggakan. Dalam masa sama generasi baru pada masa kini perlu sentiasa diingatkan tentang nilai kemerdekaan yang perlu dihargai,” katanya.

Jelasnya, setiap kali tibanya Ogos, dia ditemani isteri, Maheran Samsudin, 70, akan berkongsi detik bersejarah menyambut Hari Kemerdekaan pada 1957 bersama dua anak dan tujuh cucunya di rumah mereka di Lorong Syukor Bandar Pontian.