11 Julai 2017  |  ROSHLAWATY RAIEH

Murid mengikuti aktiviti perkhemahan iaitu spider web.

Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Ulu Tebrau mempunyai satu pasukan Guru Pemimpin Pengakap yang sangat aktif. Ini terbukti berikutan dua guru pemimpin pengakap, Siti Hajar Kamsani dan Mohamad Mahathir Baharuddin merupakan pemegang Manikayu.

Mereka juga merupakan Penolong Pesuruhjaya Pengakap Daerah Pasir Gudang dan ini membolehkan mereka melibatkan murid secara aktif dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan peringkat daerah Pasir Gudang.

“Saya berharap murid yang menyertai pengakap dapat membentuk sahsiah dan perilaku yang baik, jadi pemimpin berwibawa, berketerampilan dan berkemahiran serta berjaya dengan cemerlang dalam semua bidang,” kata Idris.

Pencapaian antarabangsa

Pasukan Pengakap Kumpulan 34 SK Felda Ulu Tebrau mula berdaftar dengan Persekutuan Pengakap Malaysia daerah Johor Bahru sejak tahun 1970.

Pengakap dipilih sebagai kebitaraan sekolah kerana penglibatannya dalam aktiviti sehingga  ke peringkat antarabangsa dan juga pencapaian murid dalam setiap aktiviti yang disertai.

Menerusi kekuatan pemimpin seramai 13 orang dan ahli seramai 113 orang, pengakap SK Felda Ulu Tebrau telah menyertai pelbagai program peringkat daerah sehingga antarabangsa.

Antaranya, Jambori Pengakap Antarabangsa Kuala Lumpur dan Jambori Antarabangsa Johor 2014 (antarabangsa); Perkhemahan Pengakap Kanak-Kanak Kebangsaan Terengganu dan Jambori Pengakap Kebangsaan, Terengganu 2012 (Kebangsaan); Korobori Pengakap Negeri Johor 2016, Majlis Anugerah Ketua Pesuruhjaya Negeri dan World JOTA JOTI & Korobori Pengakap Negeri Johor 2014 (negeri) dan Kem Kesenian & Kebudayaan Pengakap ASWARA 2017, Kem Bagheera, dan Pertandingan Kawad Kaki Unit Beruniform (daerah).

SK Felda Ulu Tebrau juga konsisten dalam melahirkan calon penerima Anugerah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri (Rambu Pengakap), iaitu anugerah tertinggi dalam Pengakap Kanak-kanak.

Selain itu, pemimpin pengakap juga telah melakar kecemerlangan peringkat persekutuan dan negeri. Antara kejayaannya, Mohamad Mahathir menerima Anugerah Sijil Kepujian Ketua Pengakap Negeri (SKKPN) dan Pingat Johor Darul Takzim (JDT)) manakala  Siti Hajar menerima Pingat JDT.

Pemimpin Pengakap, Siti Hajar berkata, untuk perancangan pengakap sekolah pada masa akan datang, semua pemimpin diharapkan memperoleh Manikayu Pengakap Kanak-kanak, memperoleh Lencana Kepandaian Emas, Perak, Gangsa dan Rambu serta mendapat pengiktirafan sebagai Unit Beruniform Cemerlang peringkat Negeri Johor.

Abseiling Korobori Pengakap Kebangsaan.

Jangan buat sambil lewa

Demi memastikan sekolah kekal dalam bidang kebitaraan masing-masing, sememangnya menuntut banyak pengorbanan dan usaha berterusan. Sekiranya perkara ini dibuat sambil lewa, tentu sukar sekolah mencapai kejayaan.

Menurut Idris, kebitaraan Pengakap dan Bahasa Inggeris memerlukan pelbagai langkah dalam mengekalkannya.

Bagi sekolah ini, sentiasa menaik taraf prasarana sekolah dan memberi sokongan untuk melaksanakan dan menyertai apa sahaja aktiviti, adalah antara langkah yang sedang dijalankan.

Malah, idea kreatif dan terkini daripada guru serta murid akan diambil kira untuk mengekalkan kebitaraan tersebut.

Dalam pada itu, dua bidang kebitaraan sekolah ini memerlukan dana yang agak besar dalam pelaksanaan aktiviti dan juga program. Untuk ke arah itu, PIBG merupakan sumber kewangan utama sekolah selain sumbangan daripada Kulim (M) Berhad.

Alumni sekolah juga sentiasa bersedia hulur bantuan sekiranya pihak sekolah memerlukan sumbangan tenaga, masa dan kemahiran kelak.

Murid yang terlibat dengan Jambori Pengakap Antarabangsa di Taman Metropolitan Batu. Gambar kanan: Penerima Anugerah Rambu.

Kredit laman sesawang GPS Bestari