Seramai 168 ahli pengakap kanak-kanak daerah Yan, Kedah berjaya mengharungi pahit getir dan pelbagai ujian sepanjang tiga hari program Cuboree Pengakap Daerah Yan 2017 di Sekolah Kebangsaan Bukit Besar, baru-baru ini.

Menurut Pesuruhjaya Pengakap Daerah Yan Mohd Hasni Suhaimi, perkhemahan berkenaan permulaan untuk ahli pengakap mengenali keperibadian pengakap secara menyeluruh.

“Pelbagai aktiviti dilakukan sesuai dengan had dan keupayaan kanak-kanak yang baru mengenal potensi diri untuk menggarap kehidupan lebih mencabar.

“Mereka turut diuji aktiviti air, menyeberang menggunakkan tali, permainan menuruni bangunan menggunakan tali dan sukan memanah yang memerlukan tumpuan tinggi.

 “Selain itu, mereka turut diberi peluang mendapat pengalaman baru bermain roket tekanan tinggi yang menggunakan konsep sains dan memasak masakan rimba tanpa alatan dapur,” katanya ditemui pada program itu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri merangkap Ketua Majlis Pengakap Yan Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail.

Menurut Hasni, aktiviti perkhemahan itu juga mendapat perhatian dan sokongan daripada ibu bapa dan pemimpin tempatan kerana dapat membina jati diri murid.

“Selepas melihat sokongan padu pelbagai pihak, kami bercadang menjadikan program ini sebagai acara tahunan,” katanya.

Peserta, Aiman Ifwat Jalil,11, dari Sekolah Kebangsaan Gurun berkata, aktiviti perkhemahan itu sangat menyeronokkan dan menimba pelbagai pengalaman.

“Ini pengalaman pertama saya menghadiri perkhemahan seperti ini, alhamdulillah, banyak saya dipelajari terutama ikhtiar hidup selain dapat membuang rasa takut dan trauma apabila berada di tempat tinggi.

“Setiap peserta program ini diwajibkan melakukan aktiviti menuruni tali dari bangunan tinggi, syukur kami berjaya melakukannya dengan selamat,” katanya.

Sumber