Sumber FB PPM Labuan Pengakap

LABUAN: Seramai 71 ahli Pengakap Udara yang diketuai oleh Dato’ Sri Mohd Alias Bin Abdul Rahman mengadakan lawatan ke Pangkalan Udara Labuan, Tentera Udara Diraja Malaysia. Dato’ Sri Mohd Alias yang juga Yang Dipertua Majlis Pengakap Negeri mengulas tujuan kunjungan, katanya, adalah untuk memberi penerangan ringkas penubuhan Pengakap Udara di Labuan, membentuk hubungan dua hala melalui program kerjasama dan perancangan aktiviti 2017. “Antara aktiviti yang akan diadakan adalah Perkhemahan Inagurasi Pengakap Udara dan Perkhemahan Ahli Udara Kelas II” Turut mengiringi lawatan tersebut ialah Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Skip Hong Heng Chee.

Menurut penyelaras program Skip Rosni Mohd Daud berkata antara lain lawatan tersebut bertujuan memberi pendedahan kepada ahli pengakap peranan dan tugas tentera udara serta melihat sendiri kekuatan aset aviasi negara. Para peserta telah diberi taklimat ringkas operasi setiap skuadron dan melawat pameran pesawat C130 No. 14 SKDN, helicopter EC725 No. 5 SKDN dan Pesawat Hawk No. 6 SKDN Sebanyak dua skuadron Pengakap Udara yang terlibat pada kali ini iaitu No. 30 Skuadron SMA MAIWP dan No. 26 Skuadron Labuan International School.